Syeikh Haji Ahmad Albaqir

Monday, October 08, 2007

Sambungan : Sheikh Ahmad al Baqir

Tambahan :

Pada 2 mei 2007 hari selasa petang itu, saya mula menjejaki waris Almarhum Syeikh Haji Ahmad AlBaqir di Pantai, Seremban. Setelah berpindah ke Seremban, saya kira banyak ruang masa untuk membuat koleksi tokoh-tokoh alim ulama’ negeri ini. Pantai adalah nama penempatan atau sebuah pekan kecil di Jalan Jelebu kira-kira 15 km dari Bandar Seremban. Lokasi yang cari ialah sekitar pekan tersebut dan menyusuri jalan di sana mengingatkan saya zaman remaja ketika bersekolah di Jalan Sikamat, Seremban.

Lebih 30 tahun telah berlalu, banyak perubahan dan pembangunan di Jalan Jelebu khususnya dalam kawasan perbandaran Seremban. Mengimbau kenangan ketika berbasikal di sini, yang pastinya tiada lagi lorong-lorong lama dan rakan-rakan berbasikal zaman persekolahan . Berhampiran kilang rempah Jalan Jelebu itu, saya sering berselisih dengan pelajar senior yang menaiki basikal bermotor yang kiranya waktu itu memang sukar ditemui, mudah sahaja dia melalui lorong berbukit sedang saya ‘mencunggap’ mengayuh basikal tua. Beberapa tahun kemudiannya, sahabat lama memberitau pelajar senior yang berlagak dengan basikal itu ialah Ahmad Tarmimi Sarigar pelakon terkenal itu. Betul ke?

Beberapa minggu lalu, ketika persatuan bekas pelajar sekolah kami telah mengadakan mesyuarat agong kali ketiga. Di sana saya melihat kefasihan pelakon itu sebagai pengerusi majlis. Ramai pelajar senior yang telah jadi ‘somebody’ menunjukkan aksi mereka sehingga saya begitu terasing sekali dalam dewan tersebut. Sebelum ini YAB Menteri Besar turut meluangkan masa memeriahkan majlis maklumlah beliau juga bekas pelajar sekolah ini tetapi memori ‘CPU’ saya begitu sukar mengimbas wajahnya lebih 30 tahun lalu. Mungkin beliau budak baik waktu itu sehingga diari pelajar nakal seperti saya tidak ‘tally’ untuk membuat rangkaian maklumat dari data-data lama. Inilah pelajar yang pernah dilibas 'rotan godang' oleh Pak Imam ( Pengetua sekolah) dan ditumbuk dek Pitung ( Warden asrama) kerana gara-gara perilaku dan gurauan terlampau. Pengetua itu pernah menggunting rambut saya hingga capuk-mapuk, lalu saya botakkan kepala tanda protes. Phobia dihambat guru itu berlarutan hingga saya sudah berkerja. Sering saya termimpi-mimpi diburu dek kedua guru tersebut. Semuanya tinggal kenangan dan di manakah kawan-kawan lama saya? ( kalau terbaca email : abu_afdhal@yahoo.com )

Pekan Pantai

Kalau melalui Bandar Seremban, kita boleh ke pekan Pantai melalui Jalan Sikamat atau Jalan Jelebu. Awalnya, saya mengira sebuah surau kayu yang usang sebelah kanan jalan sebelum pekan itu madharasah Tuan Syeikh Ahmad Baqir. Di depannya terdapat beberapa kawasan perkuburan yang berkunci. Menurut beberapa penduduk di sini, kubur-kubur tersebut ialah milik keluarga Dato’ Klana Sungei Ujung iaitu Undang Luak bagi Daerah Seremban. Rata-rata kalangan mereka tidak mengetahui siapa Syeikh Haji Ahmad khalifah Tareqat Naqsyabandi terawal di negeri ini.

Seorang lelaki tua yang menyemenda di Pantai, menyarankan saya berjumpa orang yang lebih tua bernama Haji Abdul Rahman di Kampung Batu 7, Pantai yang mungkin lebih banyak mengetahui riwayat tokoh yang saya cari ini. Alhamdulillah, saya dapat bersua muka dengan orang tua sudah uzur seperti yang dimaksudkan. Beliau menyebut nama Syeikh Ahmad Albaqir sebagai "Dato’ Laksamana Haji Ahmad Alkholidi" iaitu seorang kerabat dalam Dato’ Undang Luak Sungei Ujong.

Saya begitu terkejut, apabila isterinya yang juga sedikit uzur itu turut mencelah perbualan kami memberitau bahawa orang yang dimaksudkan itu ialah bapa suaminya atau mertua beliau. Tidak hairanlah jika lelaki tua banyak membetulkan perkhabaran tentang orang alim yang saya cari ini. Beliau seolah-olah cuba mengelak untuk membicarakan sejarah hidup bapanya kerana takut tersilap fakta katanya. Tetapi isterinya agak peramah itu, banyak membantu saya mengimbas kisah mertuanya. Menurutnya, suami beliau sudah uzur dan pelupa pula. Namun saya perhatikan Haji Abdul Rahman anak kedua dari isteri kedua Syeikh Khalifah ini kelihatan lebih ceria apabila imbauan sejarah 70 tahun lampau dibangkitkan.

Keluarga Khalifah

Syeikh Haji Ahmad adalah keturunan akrab kepada pewaris Dato’ Klana. Zaman mudanya beliau dilantik ke jawatan Dato’ Laksamana dan mendapat didikan agama hingga di Mekah Almukarramah dalam usianya 20an. Beliau mungkin dilahirkan dalam tahun 1876 dan mengenali Syeikh Muhamad Said Al Linggi ulama terkenal dan pembawa Tareqat Ahmaddiah yang dominan di negeri ini. Dalam tempoh tersebut ramai anak watan bermukim di kota suci Mekah untuk belajar agama.

Menariknya, kepulangan Syeikh Muhamad Said ke tanah air seakan sekapal pula dengan Syeikh Haji Ahmad. Kedua anak watan yang alim ini terus membuka pusat pengajian di kampung masing-masing dalam mukim Luak Sungai Ujong ini. Antara pusat pengajian masing-masing hanya sekadar 10 km sahaja dan pondok mereka menjadi tumpuan ratusan murid-murid yang datang dari berbagai tempat untuk menimba ilmu agama dari dada orang alim ini. Dua bahtera besar yang mengibarkan panji-panji kesufian Ahmaddiah dan Naqsyabandiah terawal di negeri beradat. Sejak kehadiran Syeikh Haji Ahmad inilah, penduduk negeri mula mengenali tuwajjuh dan bersuluk.

Madrasah atau surau dua tingkat dibina bersebelahan dengan rumah Tuan Guru. Rumah batu yang masih tersegam kukuh dua tingkat itu seolah-olah bangalow peninggalan penjajah. Kini premis dan surau itu terbungkam sepi dan berkunci. Dulunya menurut nenek Siti Zaharah Hashim isteri Haji Abdul Rahman, kanak-kanak hingga murid tua datang berkampung di sini. Apabila petang mereka berbondong-bondong mandi di sungai yang jernih di bawah jambatan tepi rumah nenek ini. Siti Zaharah dengan Tuan Haji Abdul Rahman adalah bersaudara kerana nenek mereka adik beradik. Hanya dari perut isteri pertama Syeikh Haji Ahmad bernama Posah itu sahaja yang layak mewarisi Dato Klana. Cucu mereka YTM Dato’ Klana Petra Dato’ Haji Mubarak bin Doha sekarang adalah anak kepada Mahari anak perempuan ketiga dari Syeikh Haji Ahmad. Isteri kedua Syeikh Ahmad iaitu Sitiawan binti Haji Yaakob dikawini selepas kematian isteri pertamanya.

Sitiawan binti Haji Yaakob pula adik kepada Tuan Syeikh Haji Maarof khalifah Naqsyabandi dari Lenggeng itu. Haji Maarof menuntut agama dan bersuluk di bawah asuhan Syeikh Haji Ahmad sendiri semasa hidupnya ( baca riwayat hidup Haji Maarof). Apabila negeri ini ditawan oleh tentera Jepun dan kematian tuan guru, aktiviti bersuluk dipimpin pula oleh anak-anak muridnya termasuk Haji Maarof yang berpusat di Lenggeng. Beberapa peralatan kerusi meja dari surau Haji Ahmad telah dipindahkan penduduk ketika berlakunya dharurat, sebahagiannya digunakan untuk peralatan di sekolah dewasa yang dibina waktu itu.

Syeikh yang dikenali

Menurut menantunya, syeikh ini pernah membina kolam ikan di depan suraunya iaitu di tepi jalan besar sekarang. Kawasan ini seperti berpaya dan mungkin dulunya bekas sawah dan sekarang dijadikan tapak semaian benih getah. Haji Abdul Rahman mendakwa bapanya ada mengalami sakit dalam dada dan mudah lelah di kala waktu tuanya. Beliau pernah membawa bapanya menaiki basikal ke Bandar Seremban untuk mengambil pencen bapanya sebagai Dato Laksamana.

Selepas majlis tuwajjuh malam itu, bapanya yang uzur itu dipimpin anak murid ke rumahnya. Malam yang hening di kampung bertuah itulah ruhnya dijemput kembali oleh Penciptanya. Almarhum berusia 66 tahun waktu itu seperti yang dimaklumkan oleh menantunya Siti Zaharah Hashim ( 1936). Beliau meninggalkan 12 orang anak iaitu 7 orang anak dari isteri pertama dan 5 orang anak dari isteri kedua. Antara nama anak-anak isteri pertama yang masih diingati Haji Abdul Rahman ialah Suri, Mahari, Nuri dan Abdul Aziz. Dari perut Suri lahir seorang cendikiawan bernama Prof. Dr Raja Kuziah yang pernah bertugas di UITM dan Dato’ Klana sekarang pula anak Mahari. Manakala isteri kedua pula ialah Zainal Abidin, Haji Abdul Rahman sendiri, Bahauddin, Siti Khadijah dan kembarnya Abdul Jalil, Abdullah Fadhil Suhaimi dan yang bungsu bernama Abu Zahid.

Abangnya yang sulong dan kedua adik kembarnya telah kembali ke rahmatullah. Adiknya yang bungsu masih bujang solo walaupun telah berusia 65 tahun, kata puan Siti Zaharah iparnya itu terlalu memilih hingga jadi bujang terlajak.

Lebah sebagai penyambut tetamu

Petang itu, kira-kira jam 6.30 saya singgah meninjau tapak surau Haji Ahmad. Lelaki tua yang mungkin sibujang terlajak itu sedang menyapu sampah di tepi rumah batu yang sepi dan pintu pagar premis tua itu berkunci kemas. Ketika tangan mulai bersalaman, sekawan lebah seolah-olah turut menyambut saya.

"Bahaya ni…" ujar Abu Zahid.

Memandangkan suasana mencemaskan itu, saya meminta diri untuk meninggalkan beliau sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini. Dalam perjalanan kembali itu, saya memikirkan apa hikmahnya atas kejadian tersebut. Namun begitu saya bersyukur kerana maklumat keluarga Tuan Syeikh Khalifah ke 36 Tareqat Naqsyabandi terawal dari bumi adat perpatih ini diperolehi dari sumber pertama iaitu anak beliau sendiri yang pernah hidup bersamanya. Beliau berusia 15 tahun sewaktu bapanya mengakhiri hayatnya.

Friday, February 24, 2006

Khalifah Tarekat Naqsyabandiah Ke 36


Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad Haji Muhamad al Baqir
( Khalifah Tarekat Naqsyabadi Terawal Di Negeri Sembilan)

Prakata:
Dalam menyingkapkan sejarah perkembangan aliran tarekat di negeri ini dan Tanah Melayu amnya, kita bagai terlupa kepada pembawa asal tarekat Nasyabandiah al Kholidiah di negeri pengamal adat perpatih ini iaitu Tuan Guru Syeikh Haji Ahmad alBaqir ini. Beliau kiranya adalah sezaman dengan kehadiran Syeikh Muhamad Said al Linggi yang mengasaskan tarekat Ahmadiah di negeri kita. Malangnya, tiada pula penyusun temui penyelidikan khusus mengkaji perjuangan syeikh ini atau sememangnya sudah ada usaha yang ke arah tersebut. Permata gemilang ini adalah anak watan yang berjasa dan melahirkan ratusan pewaris dalam abad ini.
.
Ketika menyusuri sejarah hidup anak muridnya iaitu al Marhum Syeikh Haji Maarof Yaakob di Lenggeng ( khalifah ke 37 Naqsyabandiah) dalam buku perjuanganya oleh Tuan Haji Sulaiman bin Haji Mohd Nor, penyusun tertarik untuk menjejaki liku-liku hidup tokoh awal ini dan insyaallah, penyusun akan cuba mendapatkan maklumat sahih dari waris-waris almarhum di Pantai, Seremban.
.
Mengenali Syeikh
Dicatatkan bahawa syeikh Haji Ahmad pernah menuntut dan bermukim di bumi Mekah Al Mukarramah. Di sanalah beliau menerima ijazah Khalifah tarekat dari Syeikh Ali Redha yang menetap di Jabal Qubais. Syeikh Ali Redha pula adalah pewaris ke 35. Almarhum Haji Ahmad dikatakan waris kepada Dato Kelana Sungai Ujung dan balik membuka suluk di Pantai sejak awal 1900 lagi.
.
Melalui didikan dan pengawasan Syeikh inilah, ramai murid berjaya menjalani program tawajuh dan bersuluk. Haji Maarof Yaakob adalah antara anak murid bungsunya yang sempat menerima ijazah pada tahun 1942. Dikatakan semasa mengadakan program bersuluk terakhir dalam tahun 1942, Syeikh Ahmad telah begitu uzur namun beliau masih menggagahi untuk menaiki tangga surau bagi menyertai majlis. Surau suluknya kira-kira 10 kaki sahaja dari pintu rumahnya. Adakalanya beliau akan diusung di atas kerusi oleh anak muridnya untuk naik ke surau.
.
Empat hari sebelum tamat majlis suluk dalam tahun itu, tiba-tiba Almarhum berkata kepada murid-muridnya:
.
"Suluk ini mesti ditamatkan!"
.
Hari jumaat sesudah magrib, 1 Syaaban 1362H bersamaan 30 Julai 1942 Tuan Guru yang soleh itu pun pergi menemui kekasihnya yang abadi. Jenazah yang mulia itu dikebumikan pada hari sabtu hari berikutnya di tanah perkuburan Pantai kira-kira 15 rantai dari suraunya.
( rencana lanjut akan disediakan selepas penyusun menziarahi Pekan Pantai, insyaallah.)